Langkau ke kandungan utama

Ada sesuatu yang bersiul kat luar rumah aku tepat pada pukul 3 pagi setiap malam

Jembalang diluar tingkap

Tiap-tiap malam, tak kira dalam apa cuaca sekalipun, ada sesuatu yang akan berjalan melintasi rumah aku sambil bersiul. Tapi aku cuma boleh dengar bunyi bersiul ni kalau aku duduk kat area ruang tamu atau dapur rumah aku.

Rumah aku ni boleh dikatakan rumah paling hujung dalam kampung ni. Lepas je rumah aku ni dah jalan mati. Kalau kereta salah jalan biasanya terpaksa patah balik.

Biasanya bunyi bersiul tu akan mula kedengaran dari bahagian depan ruang tamu rumah dan benda tu akan berjalan sambil melintas rumah aku hingga ke bahagian dapur. Bunyi bersiul tu akan hilang bila smpai ke jalan mati di belakang rumah aku.

Masa aku kecil-kecil dulu, aku dengan kakak aku selalu juga pergi ke bahagian dapur rumah untuk curi-curi dengar bunyi bersiul ni. Mak dan ayah kami tak suka bila kami buat macam tu. Kalau ayah dapat tangkap kami cuba curi-curi dengar, ayah mesti mengamuk punya.

Tapi ayah tak pernah la mengamuk lebih-lebih. Sebab walaupun kami pernah cuba curi-curi dengar, kami tak pernah langgar pantang larang yang ayah dengan mak pernah bagitau kami.

Pantang larang nya, mak dan ayah cakap, “jangan sekali-kali cuba untuk tengok benda apa yang bersiul kat luar rumah selama ni”

Kampung aku ni pelik sikit. Keluarga kami mula pindah ke kampung ni masa umur aku 6 tahun. Rumah kami sederhana sahaja dan kampung ni ramai kawan-kawan sebaya dengan aku.

Tahun ni aku dah mula masuk tingkatan 1, aku seronok tinggal kat kampung ni selama ni. Semua kat sini best cuma bunyi bersiul tu je yang aku rase pelik.

Apa-apa pun, bunyi bersiul tu bukan la gangguan pada aku. Sebab bila aku dalam bilik aku, bunyi bersiul tu tak kedengaran sangat. Tapi mak dengan ayah aku tetap tak suka bercakap pasal bunyi tu jadi aku pun malas la nak tanya diorang lebih-lebih.

Ayah aku ni jenis lelaki yang sado, tinggi dan suka control macho bak kata orang. Ayah biasanya jenis rilek bila berdepan dengan masalah. Kecuali bila ayah dengar bunyi bersiul tu, riak muka ayah akan mula nampak cemas dan ayah sentiasa ingatkan kami adik beradik supaya jangan sekali-kali cuba intai luar rumah bila bunyi bersiul tu lalu diluar rumah kami.

Alah, kalau kami nak mengintai pun tak boleh. Sebab ayah dah pasang bidai pada bahagian dalam tingkap rumah kami. Bidai tingkap tu diperbuat dari kanvas tebal, dan bidai tu akan menutupi seluruh bingkai tingkap dari atas sampai ke bawah.

Dibahagian bawah bidai tu pulak, ayah akan lock guna lock mangga kecil. Setiap tingkap dalam rumah kami ayah pasang bidai ni. Bila malam, ayah akan tutup tingkap, turunkan bidai dan lock bidai ni semua. Kuncinya pula biasanya ayah akan bawa masuk dalam bilik tidur dia. Sampai macam tu sekali  ayah tak mau kami jenguk keluar.

Kisah jembalang
Ayah pasang bidai di setiap tingkap

Masa hari pertama kami sampai ke kampung ni dulu, ketua kampung dengan 3 orang ahli jawatan kuasa kampung ada datang melawat kami sekeluarga.

Masa ni la diorang bagitau pada mak dan ayah pasal bunyi bersiul tu. Diorang cakap, bunyi tu akan bermula tepat pada pukul 3.00 a.m dan berakhir tepat pukul 3.05 a.m. Mak dan ayah diberitahu yang benda yang bersiul tu tak akan apa-apakan kami selagi kami tak tengok “wajah” dia.

Ahli jawatan kuasa kampung yang datang melawat kami masa tu ada beritahu yang sebelum ni pernah ada ramai orang luar yang berpindah ke kampung ni cuba mengintai sapa yang bersiul kat luar. Kebanyakan mereka mati secara misteri, yang tak mati pula semuanya jadi gila sebab benda yang bersiul tu dikatakan akan ikut dan ganggu orang yang tengok wajah dia sepanjang hayat orang tu.

Mak pada mulanya macam tak percaya. Mak ingat orang kampung saja nak prank kami sebab kami baru pindah. Tapi bila ketua kampung berkeras kata yang mereka serious, ayah mula mencelah. Ayah cakap ketua kampung nampak serious pasal hal ni, mungkin diorg cuma cuba nak jaga keselamatan kita.

Lepas je ketua kampung dan ahli jawatan kuasa kampung tu semua balik, ayah pergi kedai hardware dan beli kanvas tebal tu untuk buat bidai. Ayah cepat-cepat pasang bidai pada semua tingkap rumah kami sebelum waktu malam.

Pada malam pertama kami di kampung ni, aku senyap-senyap pergi ke bahagian ruang tamu rumah kami. Ingatkan aku seorang je yang berjaga malam, tapi bila sampai je di ruang tamu aku tengok ayah aku pun ada sekali kat situ.

Ayah letak jari telunjuk dia kat bibir, bagi isyarat suruh aku jangan buat bising. Aku rasa ayah pun nak cuba dengar bunyi bersiul yang ketua kampung bagitau tu. Maka kami dua beranak pun tunggu la kat ruang tamu tu.

Tepat pukul 3.00 a.m, kami dengar bunyi orang bersiul. Bunyi siulan tu macam bunyi orang yang bersiul sambil senang hati. Ceria je melodi nya.

Benda tu bersiul sambil melintasi rumah kami, tepat pukul 3.05 a.m, siulan tu pun hilang. Maka betul la apa yang ketua kampung bagitau sebelum ni.

Tiap-tiap malam bunyi siulan tu datang dan pergi, kami pula memang tak pernah cuba nak mengintai. Jadi kami sekeluarga pun tinggal la kat kampung ni dengan aman sehingga lah ayah dapat jadi salah seorang dari ahli jawatan kuasa kampung ni.

Sebagai salah seorang dari ahli jawatan kuasa kampung, ayah dengan ketua kampung akan sama-sama pergi mengziarah mana-mana keluarga yang baru berpindah ke kampung ni. Tujuannya satu je, untuk bagi amaran kepada diorang pasal benda yang bersiul tu.

Ada juga sesetengah keluarga yang baru sampai kampung ni yang ambil mudah pasal bunyi siulan ni, diorang intai juga benda yang bersiul tu.

Biasanya lepas mereka intai, keluarga-keluarga ni akan pindah keluar secara mengejut. Muka diorang biasanya pucat dan bila ditanya, tak pernah ada yang cakap apa yang diorang dah nampak.

Malah keluarga-keluarga yang pernah tengok benda tu nampak seolah-olah diorang sentiasa dalam ketakutan dan sentiasa diganggu. Dan tak ada orang kampung yang tau apa jadi pada mereka bila meraka pindah keluar dari kampung ni.

Kes-kes yang berlaku pada keluarga ni semua buat kami sekeluarga makin risau untuk langgar pantang. Maka tak pernah la kami cuba-cuba nak intai benda yang bersiul tu. Buat apa nak cari pasal betul tak? Sehingga la satu hari ni, ada satu keluarga baru berpindah ke kampung kami.

Keluarga ni 3 orang. Si ayah, si emak dan si anak seorang umur sebaya dengan aku. Mereka datang dari Shah Alam. Diorang baru je pindah kat kampung ni sebab si ayah terpaksa bekerja di daerah ni selama 4 tahun. Si anak yang sama umur dengan aku tu nama dia Zarif.

Masa hari pertama diorang pindah kat kampung ni. Ayah dengan ketua kampung dah pergi melawat diorang dan bagi amaran pasal benda yang bersiul tu. Ayah berjaya meyakin mak ayah si Zarif ni.

Diorang pun beli kanvas buat bidai juga, sama macam yang ayah buat pada tingkap rumah kami. Sebabnya diorang tak mau Zarif senyap-senyap intai benda tu.

Aku tak rapat sangat dengan Zarif ni sebab kat sekolah kami tak sama kelas hingga la satu hari tu, mak ayah si Zarif ni tumpangkan Zarif kat rumah kami sebab diorang terpaksa keluar kampung untuk satu malam sebab ada urusan kerja.

……...

“Kau tau tak siapa yang selalu bersiul kat luar tiap-tiap malam tu?” kata Zarif waktu kami bertiga (dengan kakak aku sekali) tengah tengok TV malam tu.

Aku dengan kakak aku dua-dua terkejut dia tanya macam tu.

“Kitorang tak mau ambil tahu pasal bunyi bersiul tu” aku balas

“Tah-tah orang yang bersiul tu pembunuh bersiri kot?” Zarif cuba nak buat lawak bodoh

“Aku malas la nak ambil tahu. Mak ayah aku tak bagi kami sibuk-sibuk pasal bunyi bersiul tu” aku cakap kat Zarif

“Daripada kita sibuk nak tau pasal bunyi bersiul tu apa kata kita lepak bilik aku main PlayStation lagi best” aku kata kat Zarif sambil bangun pergi masuk ke bilik.

Malam tu kami semua main game sampai lewat malam sebab masa tu tengah cuti sekolah. Kami pun malas nak masuk tidur awal. Waktu aku tengah seronok main PlayStation dengan kakak aku tiba-tiba Zarif datang pada kami.

“Korang tak nak try intai benda yang bersiul tu ke? Dah nak sampai masa ni” - Zarif kata bila dia dah hampir dengan kami.

Masa tu baru aku perasan sekarang dah hampir pukul 3 pagi.

“Alah, aku bukan apa. Kat rumah aku ayah aku dah pasang bidai kat semua tingkap. Ayah aku kunci bidai-bidai yang ada kat tingkap rumah aku. Aku tak boleh intai” - Zarif cakap pada aku.

“Sama la ayah aku pun kunci bidai kat rumah kitorang ni juga” - Aku cuba berbalah dengan Zarif

“Betul, tapi ayah kau tak sorok kunci bidai tu. Aku nampak ayah kau letak kunci bidai rumah kau kat atas meja makan tadi” - Zarif cakap panjang lebar.

Aku pun memang ada perasan yang ayah aku memang dah lama tak sorokkan kunci bidai rumah kami sejak dua tahun kebelakangan ni. Sebab ayah tau, kami adik beradik ambil serious tentang pantang larang untuk tidak mengintai benda yang bersiul tu.

“Lepas ayah kau kunci bidai tingkap tadi aku pergi tandas. Aku nampak ayah kau letak kunci bidai tu atas meja. Aku ambil la". - Zarif cakap sambil tersengih.

“Kau tipu” - Aku dah mula risau

“Kau tak percaya pergi la dapur tengok kunci bidai tu ada lagi tak atas meja makan” - Zarif cabar aku.

Aku pun cepat-cepat bangun pergi ke dapur. Bila aku sampai dapur aku tengok kunci memang betul-betul tak ada atas meja makan. Dan masa itu juga la tiba-tiba aku dengan bunyi benda tu bersiul. Aku terkejut bila tengok jam dah tepat pukul 3.00 a.m

Aku tergamam sekejap sebab tak tau nak buat apa sebab Zarif betul-betul dah ambil kunci bidai rumah kitorang. Tapi aku tergamam tak lama sebab beberapa saat lepas tu aku dengar bunyi macam suara Zarif dan kakak aku dari kawasan ruang tamu rumah.

“Diorang nak intai betul-betul!!” - aku cakap dalam hati sambil berlari pergi ke ruang tamu pula.

Masa aku sampai ruang tamu aku nampak Zarif tengah buka lock mangga salah satu tingkap di ruang tamu rumah aku. Kakak aku pulak ada kat belakang Zarif tengah tunggu Zarif buka tingkap tu.

Aku dengar bunyi “klik”. Maknanya Zarif dah buka lock bidai tingkap tu. Zarif tergelak kecil bila dia berjaya bukan lock tu. Sementara tu kakak aku pulak berdiri kat sebelah Zarif. Diorang berdua mengadap tingkap dan sekarang ni bunyi bersiul tu betul-betul kat sebelah luar tingkap yang diorang cuba buka tu.

Aku berlari sepantas yang boleh ke arah kakak aku. Aku halang pandangan kakak aku dengan badan aku, tutup mata dia dengan tangan aku dan tarik kakak aku kelantai ruang tamu sambil pejamkan mata aku sendiri.

Dalam masa yang sama aku boleh dengar bunyi bersiul tu betul-betul di sebelah luar tingkap tu. Dan aku juga bole dengar bunyi tingkap dibuka.

Lepas je tingkap tu terbuka bunyi bersiul tu terus berhenti

Aku cakap kat kakak aku, “Jangan tengok Kak. Pejam mata dan jangan pandang apa-apa” sambil aku cuba pusingkan badan kakak aku supaya dia mengadap arah bertentangan dengan tingkap tu.

“Tak, Kakak tak tengok. Kakak takut” - Aku lega dengar suara kakak aku. Walaupun masa tu aku dengar suara kakak aku macam mengeletar tapi aku lega bila dia bagitau dia tak sempat tengok dan aku berjaya halang dia.

Tapi aku tak dengar suara Zarif. Apa dah jadi?

Dengan mata yang masih terpejam aku cuba meraba-raba cari Zarif. Aku dapat pegang Zarif tapi masa tu aku rasa Zarif mengeletar dah macam orang kena sawan. Kuat betul mengeletar tapi dia tak cakap apa-apa, tak menjerit, tak ketawa.

“Zarif?” aku panggil

Senyap

Dengan mata yang masih terpejam, aku posisi kan diri aku supaya aku menghadap ke arah Zarif dan membelakangkan tingkap. Sebab aku nak tengok apa jadi dengan Zarif tapi aku tak nak tengok arah tingkap sebab takut benda tu masih ada kat situ.

Lepas aku dah dapat posisi kan diri aku dengan betul aku buka mata

Masa tu juga aku nampak Zarif, muka dia pucat macam orang kurang darah. Zarif terus menjerit-jerit macam orang kena histeria. Dia tolak aku sampai jatuh ketepi dan tutup tingkap dan bidai rumah aku tu.

Aku tergamam dan dalam masa sama aku dengar bunyi mak ayah aku tengah bergegas dari bilik tidur diorang.

“Kenapa ni?” Ayah aku tanya

“Zarif tengok benda tu” - tu je yang aku mampu jawab

Muka ayah aku berubah macam muka orang baru dapat tau berita anak dia meninggal. Selama ni ayah jenis lelaki yang control macho bila berdepan dengan masalah tapi malam ni tak lagi. Aku dapat tengok riak muka ketakutan pada wajah ayah.

“Zarif seorang je yang tengok kan?”

“Dia seorang je ayah, kami tak tengok” - Aku jawab dengan suara masih mengeletar

Masa tu baru aku nampak macam muka ayah nampak lega sangat. Tapi bila ayah pandang Zarif muka ayah berubah risau balik. Aku pun tak pasti samada ayah patut rasa lega atau tak sebab hanya Zarif seorang je yang dah tengok benda tu.

Tiba-tiba ada bunyi ketuk pintu

Kami semua kaku kat ruang tamu tu.

“Jangan jawab” mak aku bisik

Sekali lagi ada bunyi orang ketuk pintu. Kali ni lagi kuat dari tadi

“jangan buka pintu tu” - Zarif berbisik sambil menangis perlahan.

Ayah pegang Zarif “Jangan risau, kita takkan buka pintu tu. Kita jangan bagi apa pun masuk rumah ni malam ni”

TOK!! TOK!! TOK!!

Kali ni pintu rumah kami bergegar kena ketuk. Zarif menjerit-jerit ketakutan. Kami dah tak tau nak buat apa.

TOK!!! TOK!!! TOK!!!

Kali ni makin kuat.

“Kita call polis” mak bagi cadangan

Masa tu juga bunyi ketuk pintu tu berhenti

Kami semua terdiam tak tau nak buat apa.

Tiba-tiba bunyi orang ketuk pintu berlaku lagi tapi kali ni perlahan dan gentle je bunyi ketukan nya

Tuk tuk tuk

“Polis” - benda disebalik pintu tu cakap

Nada dan suara nya betul-betul sama dengan suara dan nada mak tadi. Seolah-olah macam burung kakak tua mengulang apa yang mak cakap

“Polis. Call polis.” tuk tuk tuk “polis”

“Dah la, cukup la tu, berhenti la” - Zarif berbisik sambil menangis.

Bunyi ketuk pintu tu behenti tapi kami boleh dengar benda tu ketuk pintu dapur rumah kami pula. Lepas tu dia berhenti ketuk pintu dapur tapi kali ni benda tu sambung, dua-dua pintu ruang tamu dan dapur benda tu ketuk secara serentak.

“Cukup!!!!!!” Zarif menjerit sambil menangis

“Aku tak akan bagitau siapa-siapa apa yang aku nampak. Tolong la berhenti” - Zarif menjerit lagi sambil menangis.

Masa tu la benda tu berhenti ketuk pintu rumah kami. Lebih kurang seminit lepas tu kami dengar bunyi orang ketuk tingkap yang Zarif buka tadi. Perlahan je benda tu ketuk tapi tak berhenti-henti.

Benda tu ketuk tingkap tu tak behenti sampai ke pagi. Dan Zarif pula tak berhenti-henti menangis. Kami semua berkumpul dekat ruang tamu sepanjang malam.

Mak ada cuba bawa kami ke bilik tidur aku tapi bila kami sampai ke bilik tidur, benda tu ketuk pintu rumah balik. Kuat betul benda tu ketuk pintu sampai kami risau kalau-kalau pintu tu tak dapat bertahan dan roboh.

Bila mak bawa kami keruang tamu semula, barulah benda tu berhenti ketuk pintu. Tapi ketukan perlahan di tingkap tadi tu tetap ada sampai ke pagi.

Bila dah hampir nak subuh baru lah benda tu berhenti ketuk tingkap rumah tu. Sepanjang malam kami semua tak tidur.

Bila ketukan kat tingkap tu berhenti. Ayah tak terus buka tingkap. Ayah tunggu matahari keluar dulu. Bila dah pukul 7.30 pagi, kat luar pun nampak dah semakin cerah, ayah bawa kami semua masuk bilik tidur dia lepas tu baru dia pergi buka tingkap dan pintu untuk tengok keadaan.

Bila ayah dah yakin keadaan selamat dan benda tu dah tak ada, dia datang kepada kami

“Ok, benda tu dah tak ada kat luar”

……………….

Mak ayah Zarif balik lebih kurang tengah hari macam tu. Bila diorang dah sampai, mak ayah aku bagitau diorang apa yang dah berlaku dan diorang berbincang lama kat ruang tamu. Aku dengan kakak aku tak dibenarkan dengar dan disuruh masuk kebilik.

Seminggu lepas tu, aku dapat tau yang keluarga Zarif dah nak pindah keluar dari kampung tu. Masa diorang tengah punggah barang naik atas lori, aku cuma tengok dari jauh je. Muka Zarif masa tu dah tak sama macam selalu.

Muka dia putih dan pucat, bibir dan rambut dia nampak sangat-sangat kering. Mata Zarif pun nampak merah macam orang kena sakit mata.

Aku teringat ketua kampung ada cakap masa kami mula-mula sampai ke kampung ni dulu, orang yang nampak benda tu takkan tenteram sebab benda tu akan menghantui orang yang nampak wajah dia sepanjang hayat.

Petang tu keluarga Zarif pindah dan aku tak pernah nampak diorang lagi.

Keluarga aku masih lagi tinggal di kampung ni. Bunyi bersiul tu pun masih lagi berlaku tiap-tiap malam. Tapi mak ayah kami dah tak benarkan kawan-kawan kami bermalam kat rumah kami lagi dah. Ayah pun dah mula sorokkan balik kunci bidai tingkap tu.

Alah, aku pun tak teringin nak tengok apa benda yang bersiul tiap-tiap malam tu...

Ulasan

  1. Saya nk tau benda tu rupa mcm mana sbb saya skang kt pindah ke KL duduk tingkat 19 ...setiap hari setiap malam dngr bunyi org bersiul tp bila tngok luar xda pon org kt koridor

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bunyi "BEEP" di telinga ku

Aku masih ingat dengan jelas peristiwa anak aku dirogol dan ditinggalkan di kawasan rumah sampah berhampiran kolej tempat dia belajar. Kisahnya bermula apabila aku dikejutkan oleh satu panggilan telefon pada satu malam yang sunyi. Jarang aku dapat panggilan pada waktu malam, jadi apabila telefon aku berbunyi malam tu, aku tau ini bukan panggilan telefon yang biasa dan sesuatu yang akan mengubah hidup aku akan berlaku. “Encik Razak?” aku dengar suara selepas aku mengangkat panggilan tersebut. “Saya minta maaf sebab call encik Razak pada waktu macam ni. Ini berkenaan anak Encik” Aku tak dapat lupa apa yang pertugas hospital tu katakan pada aku malam tu. Hati aku bagaikan luruh bila mereka beritahu apa yang berlaku kepada anak aku. Dan kalau boleh, aku tak mahu lagi melihat riak wajah isteri aku pada malam itu apabila aku sampaikan berita ini kepada dia. Malam itu aku dan isteriku, Sofia cepat-cepat bersiap untuk ke hospital untuk melihat keadaan anak aku. Ketika dalam perjalanan, isterik

Kisah pemandu Grabcar

Pengalaman ngeri pemandu Grab Sekarang ni dah beberapa tahun aku jadi pemandu Grab. Cerita yang aku nak kongsi kali ni seram ada, sedih pun ada. Satu malam aku pergi ambil penumpang. Bila aku sampai, aku dapati ada 4 orang tengah tunggu untuk naik kereta aku. Seorang lelaki tua, mungkin dalam usia 50an manakala lagi 3 orang penumpang pula kelihatan lebih muda dalam lingkungan usia 20an macam tu. Lalu mereka pun masuk ke dalam kereta aku. Salah seorang lelaki muda itu duduk di tempat duduk hadapan sebelah aku, manakala 2 lagi lelaki muda duduk bersama lelaki tua tersebut di tempat duduk belakang kereta. Aku perhatikan, dua orang budak muda yang duduk bersama dengan orang tua di belakang tu hanya membisu sahaja sepanjang perjalanan. Salah seorang dari mereka memakai sweeter dengan logo adidas yang besar dibahagian dada, manakala seorang lagi pula pakai t-shirt warna kelabu dan memakai snow cap di kepala. Sepanjang perjalanan itu, aku, budak muda yang duduk di kerusi depan dan orang tua d