Langkau ke kandungan utama

Bunyi "BEEP" di telinga ku


Aku masih ingat dengan jelas peristiwa anak aku dirogol dan ditinggalkan di kawasan rumah sampah berhampiran kolej tempat dia belajar.

Kisahnya bermula apabila aku dikejutkan oleh satu panggilan telefon pada satu malam yang sunyi. Jarang aku dapat panggilan pada waktu malam, jadi apabila telefon aku berbunyi malam tu, aku tau ini bukan panggilan telefon yang biasa dan sesuatu yang akan mengubah hidup aku akan berlaku.

“Encik Razak?” aku dengar suara selepas aku mengangkat panggilan tersebut. “Saya minta maaf sebab call encik Razak pada waktu macam ni. Ini berkenaan anak Encik”

Aku tak dapat lupa apa yang pertugas hospital tu katakan pada aku malam tu. Hati aku bagaikan luruh bila mereka beritahu apa yang berlaku kepada anak aku. Dan kalau boleh, aku tak mahu lagi melihat riak wajah isteri aku pada malam itu apabila aku sampaikan berita ini kepada dia.

Malam itu aku dan isteriku, Sofia cepat-cepat bersiap untuk ke hospital untuk melihat keadaan anak aku. Ketika dalam perjalanan, isteriku yang duduk sebelah ku tak henti-henti membisikkan doa agar anak aku dapat di selamatkan. Dan pada ketika ini lah aku terdengar satu bunyi pada telinga sebelah kiri aku. Bunyinya pendek sahaja - “BEEP!”

Aku cuba masukkan jari aku ke dalam telinga dengan harapan bunyi itu berhenti. Tapi bunyi tu tak hilang. Malah berterusan tanpa henti. BEEP...BEEP....BEEP

Aku abaikan sahaja bunyi itu kerana kami dah hampir sampai ke hospital. Apabila sampai sahaja. Aku nampak anak aku, Liyana, terbaring dalam keadaan disambungkan kepada beberapa mesin ditepi katilnya.

Aku dah biasa nampak mesin-mesin untuk pesakit di hospital, malah aku tau juga serba sedikit apa gunanya mesin-mesin ni semua. Sebab aku sendiri pun bekerja di Hospital sebagai seorang pakar bius. Tapi bila melihat anak sendiri disambungkan ke semua mesin-mesin ini membuatkan aku tak mampu nak menahan sebak.

---------

Anak aku ambil masa 3 hari untuk sedarkan diri. Sepanjang tempoh tu, pendengaran pada telinga kiri aku hilang sedikit demi sedikit, apa yang aku dengar dari telinga kiri aku hanyalah bunyi BEEP...BEEP...BEEP yang berterusan.

Tapi dalam keadaan anak dan keluarga aku memerlukan aku macam ni, aku cuma abaikan sahaja bunyi tu dan aku juga tak pernah ceritakan pada sesiapa yang pada ketika itu aku dah pekat sebelah kiri telinga, cuma dengar bunyi BEEP..BEEP..BEEP yang berulang-ulang sahaja.

Liyana, anak aku tu pula, proses penyembuhan dia agak perlahan walaupun dia sudah mula sedarkan diri. Liyana memberitahu bahawa dia tak ingat siapa yang menyerang dia pada malam tu dan dia tak dapat nak beri apa-apa maklumat kepada pihak polis.

Liyana mengambil sikap membisukan diri tentang apa yang telah terjadi, termasuk dengan emaknya sendiri walaupun sebelum-sebelum ini dia sentiasa berkongsi semua benda dengan emak dia.

Sepanjang tempoh ini juga, bunyi BEEP yang berulang-ulang di telinga kiri aku tak pernah berhenti. Aku sebenarnya dah mula tertanya-tanya apa yang terjadi pada telinga aku tapi aku tak berkesempatan untuk buat check up sebab fokus kami sekarang adalah untuk sembuhkan Liyana.

Selepas Liyana dilepaskan dari hospital, dia berhenti dari kolej dan berpindah untuk tinggal dengan kami semula. Sepanjang dirumah dia lebih banyak menghabiskan masa didalam bilik sahaja.

Dua bulan kemudian, Liyana, anak aku dah mula nampak tanda-tanda pemulihan yang sangat ketara. Satu hari, dia Whatapps aku ajak keluar Lunch sama-sama sebab nak bincang pasal sambung belajar semula di kolej lain.

 Dan pada hari itu lah rahsia kejadian yang menimpa anak aku beberapa bulan lalu mula terbongkar sedikit demi sedikit.

Kami keluar lunch di restoran berdekatan dengan hospital tempat aku bekerja. Ketika Liyana sedang asyik bercerita tentang kolej baru yang dia berminat nak pergi, kata-kata Liyana tiba-tiba terhenti. Muka dia berubah menjadi pucat.

“Liyana? Kamu OK tak ni? Kenapa?” - Aku bertanya

Liyana tak menjawab sebaliknya dia terus memandang tepat kearah 3 orang lelaki di belakang aku. Aku pun toleh untuk melihat siapa yang Liyana pandang tu.

Aku kenal 2 daripada mereka. Salah seorang dari mereka adalah En. Ramli, pengarah hospital tempat aku bekerja ni, seorang lagi tu doktor bahagian kanak-kanak, tapi yang seorang lagi budak muda ni aku tak pernah nampak.

Tapi tengok pada gaya, budak muda tu macam cucu kepada pengarah hospital ni.

Tapi apa yang menghairankan, apabila aku pandang budak muda tu, bunyi BEEP, BEEP, BEEP pada telinga sebelah kiri aku ni menjadi semakin kuat.

Aku tak sempat nak fikir apa-apa kerana Liyana, anak aku tiba-tiba bangun dan berlari keluar dari restoran itu tanpa menjelaskan apa-apa. Dia cuma cakap dia kena pergi dan terus berlalu. Malah ketiga-tiga lelaki itu pun tak perasan keberadaan kami.

-----------------

Apabila aku sampai kerumah selepas pulang dari kerja pada malam tu, aku nampak Liyana tengah duduk di bangku dihalaman rumah kami. Aku pun pergi pada dia

“Kamu OK ke” Aku tanya

“OK” dia jawab

Kami berdua diam seketika…

“Pasal siang tadi..” aku memulakan bicara

“Taufik..” Liyana seolah-olah berbisik

Aku tak cakap apa-apa masa ni sebab risau kalau aku salah cakap, anak aku mungkin ubah fikiran dan tak mau dedahkan apa yang berlaku

“Kami belajar di kolej dan kelas yang sama” setiap perkataan yang keluar dari mulut Liyana seolah-olah terpaksa bunyinya.

“Bila kami dapat tahu yang Ayah dan Atuk dia bekerja di hospital yang sama. Kami berkawan rapat. Dan Liyana selalu bagi gambar-gambar Liyana pada Taufik sebab Taufik selalu minta gambar”

Sebagai seorang lelaki, aku faham sangat gambar macam mana yang Taufik selalu minta. Tapi aku cuma menganggukkan kepala tanda faham agar anak aku terus bercerita.

“Tapi Taufik selalu nak minta yang lebih-lebih. Liyana tak nak sampai tahap macam tu. Taufik marah dan cakap dia akan viralkan gambar-gambar & chat kami kalau Liyana tak ikut kehendak dia”

Pada ketika ini, Liyana mula menoleh ke arah lain.

Liyana cerita pada aku pada malam kejadian, Taufik, cucu kepada pengarah hospital tempat aku bekerja telah tahan dia semasa dia baru pulang dari kedai makan.

 Taufik ajak Liyana lepak kat rumah dia. Bila Liyana menolak, Taufik mula menjadi agresif, dia mengheret Liyana ke kawasan belakang rumah kedai dan menyerang Liyana disitu.

“Lepas tu Taufik ugut Liyana supaya jangan beritahu pada sesiapa. Taufik juga cakap yang memandangkan atuk dia ialah pengarah hospital tempat ayah bekerja, dia boleh buat ayah kena pecat dan hancurkan kerjaya ayah”

Selepas itu air mata Liyana berderai. Aku cuba pujuk Liyana untuk buat laporan polis tapi Liyana tak mahu. Dia takut gambar dan chat dia dengan Taufik digunakan untuk memburukkan dia.

---------

Esoknya, apabila sampai ke hospital, aku terus cari Encik Ramli, pengarah hospital tempat aku bekerja dan datuk kepada Taufik. Aku tak tau apa aku nak buat atau cakap pada dia. Tapi aku tau aku mesti buat sesuatu.

Apabila aku jumpa Encik Ramli di koridor, aku tak sempat nak tegur dia, dia dah nampak dan tegur aku dulu.

“Bro, aku nak cakap sikit pasal cucu aku, Taufik” - Encik Ramli cakap

“Dia nak buat pembedahan pukul 2 ni. Bukan pembedahan serious la tapi aku nak minta kau tolong jadi pakar bius dia. Pakar bius lain semua sibuk petang ni” kata Encik Ramli

Masa tu aku rasa macam nak maki hamun dan beritahu pada Encik Ramli yang cucu dia ialah penjenayah berhati syaitan. Tapi aku berjaya kawal diri aku.

“Boleh. Tak ada masalah” - aku jawab sambil mengawal perasaan aku

“Bagus lah. Pembedahan dia mula pukul 2.30p.m dengan doktor Lim” - kata Encik Ramli sebelum berlalu

Pada ketika itu, bunyi BEEP pada telinga aku menjadi sangat kuat dan jelas. Aku rasa kali ni bunyi BEEP itu paling kuat berbanding sebelum-sebelum ni.

----------

Seperti dijanjikan, tepat pukul 2.30 p.m. Taufik dah tersedia terbaring atas meja pembedahan untuk dibius.

“Hai Taufik, saya pakar bius awk” aku kata pada dia

“Hi” - Taufik membalas

Nampak gayanya Taufik tak kenal aku walaupun dia tau melalui cerita anak aku yang aku dan Datuk dia bekerja di hospital yang sama. Taufik tak pernah nampak wajah aku selama ni.

“Saya akan bius untuk tidurkan awak sebelum pembedahan awak bermula. Saya nak awak count down dari 10 hingga 1 dan selepas itu saya jamin awak tak akan sedar” - aku terangkan pada Taufik dengan nada tenang dan professional.

“OK” Taufik jawab

Sambil buat persiapan aku berbual sikit dengan Taufik berkenaan dimana dia belajar dan dia ambil jurusan apa. Kemudiannya aku mula bius dia, dan kami mula countdown dari 10, aku mula tanya dia beberapa soalan akhir

10

“Saya rasa awak kenal anak saya, pernah belajar satu kolej dengan awak”

9

“Ye ke?”

8

“Ye, Liyana nama dia”

7

“Liyana…” Taufik seolah-olah dah tau yang aku ni bapa kepada gadis yang dia serang satu ketika dulu

6

“Ada Liyana bagitau apa kerja saya pada awak selama ni?”

5

“Tak..” Taufik dah mula mengantuk sebab kesan bius

4

“Kerja aku tidurkan orang, Taufik” aku bisik pada telinga dia

3
“Huh…” Taufik nampak cuba untuk tidak tertidur tapi dia tak mampu lawan kesan bius ni

2

“Dan hari ni aku akan tidurkan kau sampai bila-bila”

1

Bunyi BEEP BEEP BEEP pada telinga kiri aku kedengaran sangat jelas selama aku dan Taufik berada berdekatan. Tapi pada ketika ini baru aku sedar yang bunyi BEEP yang aku dengar ketika ini, rentaknya sama dengan bunyi BEEP pada heart monitor Taufik.

BEEP...BEEP...BEEP…

Tak lama kemudia doktor Lim dan pasukan bedah beliau masuk dan memulakan pembedahan.

Ketika dalam pembedahan, tekanan darah dan denyutan jantung Taufik menurun secara mendadak. Doktor Lim kelam kabut cuba untuk menstabilkan keadaan Taufik.

Tapi jarang doktor dapat selamatkan pesakit yang overdose bius macam ni.

Malah kes macam ni sangat susah untuk dibuktikan samada pesakit overdose ubat bius sebab badan tak tahan atau sebab bius sengaja di lebihkan.

Heart monitor Taufik menunjukkan jantung dia semakin perlahan berdenyut lalu terhenti.

Pada ketika ini juga bunyi BEEP pada telinga kiri aku pun turut mengikut rentak jantung Taufik yang terhenti itu.

BEEP……….BEEP……….BEEEEEEEEEEPPPPPPPPPP

Selepas denyutan jantung Taufik terhenti. Pendengaran di telinga kiri aku pulih seperti biasa secara mendadak.

Taufik di istiharkan meninggal dunia pada pukul 2.57p.m

Mujurlah pada waktu mereka menutup mayat Taufik dengan kain putih, aku masih lagi memakai topeng bedah. Jadi mereka tak nampak yang aku tersenyum.

Sejak kejadian tu, aku akan hilang pendengaran di telinga sebelah kiri aku setiap kali ada orang yang menganiaya isteri atau anak-anak aku. Dan pendengaran telinga kiri aku yang hilang itu akan digantikan dengan bunyi dengupan BEEP...BEEP...BEEP..

Hanya ada satu cara sahaja untuk BUNYI BEEP DI TELINGA KU itu berhenti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada sesuatu yang bersiul kat luar rumah aku tepat pada pukul 3 pagi setiap malam

Tiap-tiap malam, tak kira dalam apa cuaca sekalipun, ada sesuatu yang akan berjalan melintasi rumah aku sambil bersiul. Tapi aku cuma boleh dengar bunyi bersiul ni kalau aku duduk kat area ruang tamu atau dapur rumah aku. Rumah aku ni boleh dikatakan rumah paling hujung dalam kampung ni. Lepas je rumah aku ni dah jalan mati. Kalau kereta salah jalan biasanya terpaksa patah balik. Biasanya bunyi bersiul tu akan mula kedengaran dari bahagian depan ruang tamu rumah dan benda tu akan berjalan sambil melintas rumah aku hingga ke bahagian dapur. Bunyi bersiul tu akan hilang bila smpai ke jalan mati di belakang rumah aku. Masa aku kecil-kecil dulu, aku dengan kakak aku selalu juga pergi ke bahagian dapur rumah untuk curi-curi dengar bunyi bersiul ni. Mak dan ayah kami tak suka bila kami buat macam tu. Kalau ayah dapat tangkap kami cuba curi-curi dengar, ayah mesti mengamuk punya. Tapi ayah tak pernah la mengamuk lebih-lebih. Sebab walaupun kami pernah cuba curi-curi dengar, kami tak pernah la

Kisah pemandu Grabcar

Pengalaman ngeri pemandu Grab Sekarang ni dah beberapa tahun aku jadi pemandu Grab. Cerita yang aku nak kongsi kali ni seram ada, sedih pun ada. Satu malam aku pergi ambil penumpang. Bila aku sampai, aku dapati ada 4 orang tengah tunggu untuk naik kereta aku. Seorang lelaki tua, mungkin dalam usia 50an manakala lagi 3 orang penumpang pula kelihatan lebih muda dalam lingkungan usia 20an macam tu. Lalu mereka pun masuk ke dalam kereta aku. Salah seorang lelaki muda itu duduk di tempat duduk hadapan sebelah aku, manakala 2 lagi lelaki muda duduk bersama lelaki tua tersebut di tempat duduk belakang kereta. Aku perhatikan, dua orang budak muda yang duduk bersama dengan orang tua di belakang tu hanya membisu sahaja sepanjang perjalanan. Salah seorang dari mereka memakai sweeter dengan logo adidas yang besar dibahagian dada, manakala seorang lagi pula pakai t-shirt warna kelabu dan memakai snow cap di kepala. Sepanjang perjalanan itu, aku, budak muda yang duduk di kerusi depan dan orang tua d